KESEDARAN DAN PENERIMAAN UMUM
Sungguhpun kesedaran rakyat tentang kepentingan alam sekitar telah meningkat, tetapi kesedaran ini masih belum mencapai peringkat yang realistik. Berdasarkan keadaan ini terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab terus melakukan kegiatan yang mencemarkan alam sekitar dan melanggar peraturan alam sekitar. Masih ramai pemandu kenderaan motor menggunakan yang mengeluar asap yang kenderaan melebihi paras yang dibenarkan iaitu tak lebih 50 UAH seperti yang ditetapkan di bawah kaedah-kaedah Kereta Motor ( kawalan Pelepasan Asap dan Gas) 1977. Majoriti rakyat Malaysia masih tidak mempunyai kesedaran yang menyeluruh tentang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Pelbagai pihak hanya melenting dan mengutarakan pendapat mereka apabila suatu isu alam sekitar itu menjadi sensasi atau mendapat liputan meluas media massa. Namun tiada tindakan susulan yang berkesan diambil untuk menyelesaikannya. Rakyat perlu sedar bahawa mereka bertanggungjawab dalam pemeliharan alam sekitar dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata. Tindakan dalam memelihara perlu dilakukan dan bukannya hanya mengambil mudah isu-isu alam sekitar atau hanya pandai bercakap tanpa apa-apa tindakan. Cadangan dan pelan tanpa apa-apa tindakan berkesan umpama mencurahkan air ke atas daun keladi.
KOS PENGURUSAN
Dalam Rancangan Malaysia Ketiga ( 1976-1980) , JAS telah mendapat peruntukan perbelanjaan pembangunan awam yang berjumlah RM 40 juta.Jumlahnya telah merosot kepada RM 36 juta dalam Rancangan Malaysia Keempat, walaupun keperluan penjagaan alam sekitar semakin mendesak.Bagi buangan kotoran kumbahan domestik, JAS telah menetapkan buangan sebanyak 50 mg/1 BOD ke sungai yang tidak digunakan bagi pembekalan air dan 20 mg/1 bagi sungai yang digunakan bagi sumber pembekalan air. Kajian menunjukkan bahawa untuk mencapai matlamat antara 2-20 mg/1 ia memerlukan perbelanjaan pelaburan sebanyak RM 2.71 billion. Jumlah ini terlalu besar dan tentunya menyukarkan pihak kerajaan membuat keputusan segera ke atasnya. Menurut data terkini kerajaan memperuntukkan RM194 juta untuk hal-hal berkaitan alam sekitar dalam belanjawan 2005. Jumlah ini cukup besar berbandingkan dengan 15-20 tahun lalu tetapi persoalan yang timbul ialah adakah jumlah ini mencukupi? Jumlah ini menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam pembangunan alam sekitar negara. Namun demikian, jika pencemaran terus meningkat tanpa pengawalan, jumlah ini sudah tentunya tidak mencukupi untuk menanggung semua gaji pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam hal-hal alam sekitar, pembersihan semula kawasan pencemaran, program pemeliharaan dan pemuliharaan dan sebagainya.
KELEMAHAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Pendidkan dari peringkat awal memainkan peranan penting untuk menanamkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat. Namun demikian, nilai-nilai ini jarang dapat dilihat dalam masyarakat kini dan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar semakin meningkat. Keadaan ini membuktikan kecacatan dalam sistem pendidikan negara yang gagal menanamkan sifat-sifat sivik dan terpuji serta tentang hal-hal alam sekitar kepada masyarakat dan golongan pelajar. Di sekolah Rendah dan Menengah, pendidikan alam sekitar tidak diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan dan dimuatkan dalam mata pelajaran lain seperti sains dan Kajian tempatan. Namun untuk keperluan peperiksaan, sering kali matapelajaran seperti Kajian Tempatan digunakan untuk mengajar subjek lain. Oleh itu, pendidkan alam sekitar diabaikan untuk memenuhi keperluan alam sekitar dengan menggunakan masa itu untuk pelajaran lain. Pada peringkat institusi pengajian tinggi pula hanya pelajar yang mengambil ijazah atau subjek berkaitan dengan alam sekitar sahaja mengetahui tentang isu-isu dan cara untuk menguruskan alam sekitar. Manakala pelajar lain hanya berpandangan seperti masyarakat biasa iaitu alam sekitar hanya berkait dengan kebersihan, flora dan fauna dan persekitaran tanpa mengetahui kepentingan pengurusan alam sekitar yang betul.
KELEMAHAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Kekurangan pegawai penguatkuasa yang mencukupi dan kesusahan dalam menyediakan laporan yang lengkap sebelum sesuatu tindakan dapat diambil adalah kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang alam sekitar.Keadaan ini menyebabkan kepercayaan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan semakin menurun. Masalah lain ialah pemantauan sering dilakukan dalam waktu bekerja banyak pencemaran dilakukan pada waktu malam seperti pelepasan asap kilang dan sisa buangan ke dalam sungai. Di peringkat Kerajaan Tempatan dan Pejabat Daerah keadaannya lebih serius kerana bilangan anggota yang terhad, kebanyakkan daripada mereka tidak dilatih berkenaan cara menguatkuasakan undang-undang alam sekitar. Malah ada di antara mereka yang tidak mengetahui pun adanya peruntukkan tentang penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di bawah bidang kuasa mereka. Di Pejabat Daerah Hulu Langat, tiada seorang pun pegawai yang dilatih dalam hal-hal penguatkuasaan alam sekitar dan mereka juga tidak tahu adanya peruntukkan berkenaan hal berkenaan di bawah bidang kuasa mereka.
No comments:
Post a Comment